Sunday, September 13, 2009

Gelagat Abu Nawas

Kisah Tauladan ke-5

Abu Nawas merupakan tokoh yang paling lucu pada dinasti Abbasiyah. Tokoh jenaka ini sangat disenangi oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid kerana lawak jenakanya yang cerdik dan kelakar. Dalam kesibukannya sebagai raja yang adil dan bijaksana, baginda sering mengunjungi Abu Nawas untuk bersembang dan meyegarkan fikirannya yang berserabut.

Sebagai rakyat biasa, Abu Nawas sering mengkritik Khalifah melalui jenakanya yang lucu meskipun mengenai kepala raja, namun baginda tidak pernah marah.

Pada suatu hari, di pasar tempat orang ramai berdagang menjadi huru-hara gara-gara kata-kata Abu Nawas. “Teman-teman! Hari ini saya sangat membenci perkara yang haq tetapi menyenangi fitnah. Hari ini juga saya kaya bahkan lebih kaya daripada Allah,” ujar Abu Nawas.

Kata-kata Abu Nawas ini sungguh aneh kerana selama ini dia termasuk dikalangan mereka yang alim dan bertaqwa. Lalu polis kerajaan menangkapnya dan menghadapkannya kepada Khalifah. “Hai Abu Nawas, benarkah engkau berkata sedemikian?” tanya Khalifah. “Benar tuan,” jawabnya selamba. “Mengapakah engkau mengucapkan sedemikian, sudah kafirkah engkau?”

“Saya rasa Khalifah juga membenci perkara haq seperti saya,” ujarnya. “Gila benar engkau, aku sepatutnya menegakkan yang haq dan bukan membencinya,” ujar Khalifah yang mulai marah. “Jangan cepat marah, dengarkan dulu keterangan saya,” kata Abu Nawas yang cuba meredakan kemarahan Khalifah. “Keterangan apa yang kau maksudkan? Sebagai seorang muslim aku harus membela haq dan bukan membencinya, tahu?” ujar Khalifah geram.

“Apabila ada orang membacakan talqin, saya selalu mendengar ucapan bahawa mati itu haq dan neraka itu juga haq. Nah! Siapakah yang tidak membenci mati dan neraka yang haq itu? Tidakkah Khalifah juga membencinya seperti aku?” tanya Abu Nawas.

“Bijak juga engkau ni,” ujar Khalifah setelah mendengar penjelasan Abu Nawas. “Tapi apa pula maksudmu kau menyenangi fitnah?” tanya Khalifah. “Sekejap, barangkali Tuanku lupa bahawa dalam Al-Quran ada menyebut bahawa harta dan anak-anak itu fitnah. Sedangkan Khalifah menyenanginya seperti saya juga. Benarkan Khalifah?”

“Ya, memang begitu, tetapi mengapa engkau mengatakan bahawa engkau lebih kaya daripada Allah?” tanya Khalifah. “Saya lebih kaya daripada Allah kerana saya mempunyai anak sedangkan Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.” “Bukankah itu hakikat yang sudah tidak dapat dipertikaikan lagi?” tambah Abu Nawas lagi kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid.

“Aku membenarkannya, tapi mengapa engkau berkata sedemikian di khalayak ramai di tengah pasar?” tanya Khalifah ingin tahu. “Dengan cara begitu saya akan ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah seperti sekarang,” jawabnya selamba. “Mengapa kamu mahu menghadap saya?” “Agar dapat hadiah daripada Khalifah,” jawab Abu Nawas terus terang. Tindakan berani Abu Nawas itu menjadikan suasana itu menyeronokkan dan para hadirin terkasuma, begitu juga dengan Khalifah.

“Memang kau orang pintar,” puji Khalifah. Mereka yang mengadili Abu Nawas gelak tertawa mendengar kelucuan yang pintar itu. Khalifah pun menyerahkan wang kepada Abu Nawas sebagai hadiah dan menyuruhnya pergi meninggalkan istana. Alhamdulillah dapat rezeki,” gumamnya.

1 comment:

  1. Salam.. wah.. memang cerdik betul abu nawas ni.. ada kisah lain tentang abu nawas ni lagi? teringin nak baca lagi.. (^__^)

    ReplyDelete

Al-Qisah © 2008 Template by:
SkinCorner