Kisah Tauladan ke-5

Ketika dia tersedar dari khayalannya, dia terdengar suara menyeru, “ada seorang hamba yang kelak menjadi tetanggamu di syurga. Dia tinggal di negeri ini,” seru suara tersebut. Lalu dia teringin untuk mencari hamba yang kelak menjadi tetangganya di syurga. Abu Yazid pun keluar rumah untuk mencari hamba yang dimaksudkan. Dia berjalan kaki sejauh 100 kilometer dan tiba di negeri yang disebutkan.
Sebelum bertemu hamba itu, seorang lelaki menasihatinya. “Mengapa engkau mencari orang fasiq dan peminum arak? Padahal dari tanda-tanda di dahimu, ternyata engkau adalah seorang yang soleh.” Mendengarkan nasihat itu, Abu Yazid terkaku seketika. “Jika demikian, suara yang menyuruhku sewaktu bermunajat itu agaknya suara iblis. Mengapa aku harus menurutinya?”

“Di manakah tempat sahabat itu?” Tanya Abu Yazid. “Dia sekarang sedang mabuk-mabuk di satu tempat.” ujar lelaki itu lalu diberitahunya tempat itu. Abu Yazid menuju hamba yang disebutkan itu. Benar! Dia dapati di situ, ada 40 orang lelaki yang sedang mabuk kerana minum arak sementara lelaki yang dicarinya itu sedang duduk di tengah-tengah mereka.
Melihat keadaan yang sedemikian, Abu Yazid merasa kesal. Dia mahu meninggalkan tempat itu dengan segera. Tetapi sebaik sahaja melangkah pergi, hamba itu memanggilnya. “Hai Abu Yazid! Mengapa engkau tidak masuk dahulu ke dalam rumahku? Bukankah engkau datang dari jauh untuk menemuiku. Khabarnya engkau hendak mencari hamba sebagai tetanggamu di syurga kelak.”
Mendengarkan kata-kata itu, Abu Yazid berasa hairan dan tertanya-tanya, masakan hamba tersebut tahu maksud kedatangannya sedangkan dia belum menyatakan isi hatinya dan memperkenalkan diri. “Engkau begitu cepat mahu meninggalkan tempat ini tanpa mengucapkan salam, tanpa perjumpaan dan memberi nasihat,” kata sahabat itu menambahkan lagi kehairanan Abu Yazid. Dalam keadaan begitu, Abu Yazid terpaku. Mulutnya bagaikan terkunci rapat. Tetapi di dalam hatinya jelas memikirkan sesuatu.

“Apa sebenarnya yang terjadi di rumah ini dan apakah perananmu di sini?” tanya Abu Yazid. “Hai Abu Yazid! Untuk masuk syurga, kita tidak boleh bersifat ego. Mahu masuk syurga sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia bagi seorang lelaki sepertimu, katanya sebagai nasihat.
“Dahulu ada 80 orang fasiq yang mabuk seperti yang engkau lihat. Tetapi, aku berusaha menarik mereka supaya bertaubat dan menjadi tetanggaku di syurga kelak. Akhirnya 40 orang berjaya meninggalkan tabiat tersebut, bakinya 40 orang lagi. Dan inilah tugasmu untuk mengajak mereka supaya bertaubat agar dapat menjadi tetanggamu kelak di syurga.” tambah hamba itu lagi.
Bagaikan disambar petir hati Abu Yazid mendengar ucapan tersebut. Hatinya luruh dan merasakan terpanggil untuk melakukannya. Dan dia bertekad untuk menyedarkan 40 orang fasiq itu sebagai jirannya di syurga kelak.
Sahabat itu lalu memperkenalkan Abu Yazid kepada 40 orang yang sedang mabuk itu. Akhirnya, dengan dakwah dan usaha yang gigih, 40 orang itu telah sedar, insaf dan bertaubat. Mereka itulah yang menjadi jiran Abu Yazid di syurga kelak.
salam..
ReplyDeletebertambah lagi kisah tauladan yang saya tak pernah baca lagi.. (^__^)