Saturday, August 15, 2009

Pelacur yang insaf

Kisah Tauladan ke-1

Al-Malikah adalah seorang Primadona dari Bani Israel. Dia merupakan seorang pelacur kelas tertinggi. Upah khidmatnya mahal yakni 100 dinar setiap kali perkhidmatannya. Dia memang cantik sehinggakan Abid tergila-gilakannya. Sayangnya, Abid seorang yang miskin dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan khidmat Al-Malikah.

Disebabkan nafsu Abid yang meluap-luap itu membuatkan hati Abid tergila-gila, dikerah tenaganya untuk mengumpul wang sebanyak yang diperlukan. “Primadona itu harus berada dalam dakapannya,” bisik hati kecilnya.

Dengan berbekalkan 100 dinar, Abid datang menemui Al-Malikah pujaannya. “Silakan masuk,” pelawa Al-Malikah dengan manisnya. Mendengar sapaan pujaannya itu, Abid melangkahkan kakinya masuk ke bilik Al-Malikah. Hari itu nafsu berahinya akan dipenuhi kerana wang sudah berada dalam tangannya.


Akan tetapi, apa yang terjadi tiada siapa yang dapat menduganya. Entah bagaimana tiba-tiba sahaja badan Abid menggeletar. Peluh dinginnya merencik keluar. Malah ketika pelacur itu memeluknya, Abid berusaha melepaskan diri sambil berteriak. “Lepaskan aku, ambillah wang 100 dinar ini,” sambil dia bangkit dari katil pelacur itu.

“Mengapa engkau tiba-tiba menjadi begini?” tanya Al-Malikah. “Aku takut kepada azab Allah! Bagaimana nanti aku akan mempertanggungjawabkan perbuatan maksiatku ini?” ujarnya.

Mendengarkan jawapan itu, terpegun Al-Malikah di katilnya. Nuraninya tersentuh oleh sikap lelaki yang berdiri dekatnya. Suatu peristiwa aneh yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir di pipi. Terbayang olehnya sejuta dosa yang menyelubunginya sebagai perempuan murahan lagi hina.

“Aku tertarik kepadamu. Jadikanlah aku isterimu” kata Al-Malikah tersedu-sedu. “Tidak! Aku akan meninggalkan tempat ini” jawab Abid. “Jangan pergi! kecuali engkau berjanji akan mengahwiniku.” “Baiklah,” ujar Abid singkat sambil meninggalkan bilik maksiat itu.

Sebaik sahaja Abid meninggalkan bilik, pelacur bernama Al-Malikah ini sudah bertekad akan meninggalkan maksiat itu untuk selama-lamanya. Dia sudah menyesal dan ingin bertaubat. Al-Malikah akhirnya melangkah keluar untuk mencari Abid, lelaki yang telah menyedarkan dirinya dari lumuran dosa dan maksiat. Tekadnya sudah membulat. Dia mesti berkahwin juga dengan Abid yang beriman itu.

Al-Malikah menuju ke negeri tempat tinggal Abid dengan penuh debaran. Sebaliknya setelah bertemu, Abid kelihatan ketakutan. Lantaran ketakutan yang mendadak dan keterlaluan telah menyebabkan Abid pengsan lalu meninggal dunia. Menangislah Al-Malikah menyaksikan lelaki pujaannya meninggal dunia sebelum sempat berkahwin dengannya.

“Gagal berkahwin dengan Abid, dapat saudaranya pun tidak mengapa!” Pinta Al-Malikah dengan dorongan ingin menebus dosanya selama ini.

Seorang teman Abid memberitahu bahawa saudara Abid adalah seorang lelaki yang miskin. Dia khuatir Al-Malikah akan menyesal nanti. “Biarlah dia miskin. Aku tetap ingin berkahwin dengannya sebagai memenuhi rasa cintaku terhadap saudaranya,” kata Al-Malikah.

Jadilah Al-Malikah bekas pelacur yang insaf. Dia berkahwin dengan lelaki miskin. Allah telah membuka hati wanita itu dengan taufiq dan hidayahNya. Maka, berbahagialah Al-Malikah seorang bekas Primadona bersama suaminya yang tercinta
.

1 comment:

  1. ada sambungan cerita nya... al malikah mendapat 7 org anak lelaki yg mana juga beriman dan bertakwa....

    ReplyDelete

Al-Qisah © 2008 Template by:
SkinCorner