gambar sekadar hiasan
Syeikh Abdul Qadir Aj-Jailani adalah seorang alim dan ahli sufi yang terkenal dengan kemuliaan akhlak dan ketinggian ilmunya di kalangan umat Islam. Sehinggakan beliau digelar ketua para wali.
Diceritakan, pada suatu hari, Syeikh Abdul Qadir merantau seorang diri. Ketika mengharungi padang pasir yang panas terik itu dia merasa haus. Tiba-tiba dia melihat sebuah bekas yang diperbuat daripada perak melayang dari udara dan turun perlahan-lahan kepadanya berselimuti awan.
Dikatakan bahawa beliau terdengar suara ghaib di angkasa, “Wahai Abdul Qadir! minumlah air dalam bekas perak ini. Hari ini aku telah menghalalkan bagimu apa yang telah kuharamkan. Dan telah kugugurkan semua kewajipan yang aku wajibkan padamu,” kata suara itu.
Sebagai seorang yang serba tahu, Syeikh Abdul Qadir tahu bahawa suara ghaib yang menyerupai wahyu itu adalah suara iblis yang ingin menggoncangkan keimanannya. Syeikh yakin bahawa iblis mahu menggodanya. Bagi syeikh suara itu tidak mungkin daripada Tuhan yang haq.
Maka marahlah dia sambil berkata : “Hai malaun! berambuslah engkau dari sini. Sesungguhnya aku tiada lebih mulia di sisi Allah dibandingkan Nabi Muhammad. Perkara seperti ini tidak berlaku pun kepada Rasulullah. Mana mungkin ianya berlaku kepadaku, sedangkan aku adalah hamba yang sering melakukan kesalahan.
Perkara yang diharamkan Allah tetap haram dan kewajipan hamba kepadaNya tidak pernah gugur termasuk diriku,” ujarnya tegas. Ternyata, Syeikh Abdul Qadir seorang yang bijak dan dipelihara oleh Allah. Tipudaya iblis yang begitu seni masih tidak dapat menembusi benteng keimanan syeikh.
Maka, gagallah iblis untuk menggugat keimanan Abdul Qadir kerana kealiman beliau yang tiada bandingan. Jadilah beliau wali yang ulung sehingga ke hari ini. Nasihat-nasihat beliau sangat banyak dan masih segar meskipun sudah beratus tahun sudah berlalu. Itulah karamah Syeikh Abdul Qadir.