Thursday, December 31, 2009

Mimpi Abi Qalabah

Kisah Tauladan ke-9


Pada suatu hari, Abi Qalabah terlihat dalam mimpinya seolah-olah ada kubur pecah dan keluar mayat-mayat dari kubur itu. Mereka semua duduk di tepi kubur dan setiap orang pada wajahnya terdapat nur (cahaya).

Dikalangan mereka, Aku melihat seorang lelaki dari tetanggaku, tiada nur pada wajahnya, maka aku berkata kepadanya : “Aku tidak melihat nur di wajahmu?” jawab mayat itu, “sesungguhnya anak-anak mereka dan teman-teman mereka memberi petunjuk dan sedekah. Aku mempunyai anak yang tidak soleh, ia tidak mendoakan aku dan tidak bersedekah untukku. Oleh sebab itu, tiada cahaya di wajahku dan aku rasa malu kepada teman-temanku.

Apabila Abi Qalabah tersedar dari mimpinya, lalu dia mencari anak kepada lelaki tersebut dan menceritakan hal yang dilihatnya dalam mimpi. Berkata anak tetangganya itu : “Aku bertaubat di hadapanmu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi buat selama-lamanya.” Maka sejak itu anaknya sentiasa berbuat kebaikan, berdoa dan bersedekah untuk ayahnya.

Suatu ketika Abi Qalabah melihat kejadian yang lain dalam mimpinya. Dia melihat wajah orang lelaki itu terang cahayanya berbanding temannya. Dia berkata ; “Wahai Abi Qalabah, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Engkau telah menyelamatkanku daripada malu terhadap teman-temanku.

Maka, legalah Abi Qalabah mendengarkan itu. Begitulah pentingnya doa anak yang soleh buat ibu bapa yang telah meninggal dunia. Abi Qalabah juga mendoakan untuk ayahnya agar bersemadi dengan aman.

Pengajaran:

1. Mati itu pasti dirasai bagi setiap yang hidup, cuma tidak diketahui bila sahaja.
2. Semua perkara akan putus melainkan tiga perkara :
- sedeqah yang berkekalan
- ilmu yang bermanfaat
- doa anak yang soleh
3. Adalah mimpi orang yang beriman 1/5 daripada kenabian dan adalah benar.
4. Sebagai seorang anak, kita hendaklah menunaikan kewajipan kepada ibubapa meskipun setelah mereka tiada.

Saturday, November 7, 2009

Syeikh Abdul Qadir Aj-Jailani

Kisah Tauladan ke-8

gambar sekadar hiasan

Syeikh Abdul Qadir Aj-Jailani adalah seorang alim dan ahli sufi yang terkenal dengan kemuliaan akhlak dan ketinggian ilmunya di kalangan umat Islam. Sehinggakan beliau digelar ketua para wali.

Diceritakan, pada suatu hari, Syeikh Abdul Qadir merantau seorang diri. Ketika mengharungi padang pasir yang panas terik itu dia merasa haus. Tiba-tiba dia melihat sebuah bekas yang diperbuat daripada perak melayang dari udara dan turun perlahan-lahan kepadanya berselimuti awan.

Dikatakan bahawa beliau terdengar suara ghaib di angkasa, “Wahai Abdul Qadir! minumlah air dalam bekas perak ini. Hari ini aku telah menghalalkan bagimu apa yang telah kuharamkan. Dan telah kugugurkan semua kewajipan yang aku wajibkan padamu,” kata suara itu.

Sebagai seorang yang serba tahu, Syeikh Abdul Qadir tahu bahawa suara ghaib yang menyerupai wahyu itu adalah suara iblis yang ingin menggoncangkan keimanannya. Syeikh yakin bahawa iblis mahu menggodanya. Bagi syeikh suara itu tidak mungkin daripada Tuhan yang haq.

Maka marahlah dia sambil berkata : “Hai malaun! berambuslah engkau dari sini. Sesungguhnya aku tiada lebih mulia di sisi Allah dibandingkan Nabi Muhammad. Perkara seperti ini tidak berlaku pun kepada Rasulullah. Mana mungkin ianya berlaku kepadaku, sedangkan aku adalah hamba yang sering melakukan kesalahan.

Perkara yang diharamkan Allah tetap haram dan kewajipan hamba kepadaNya tidak pernah gugur termasuk diriku,” ujarnya tegas. Ternyata, Syeikh Abdul Qadir seorang yang bijak dan dipelihara oleh Allah. Tipudaya iblis yang begitu seni masih tidak dapat menembusi benteng keimanan syeikh.

Maka, gagallah iblis untuk menggugat keimanan Abdul Qadir kerana kealiman beliau yang tiada bandingan. Jadilah beliau wali yang ulung sehingga ke hari ini. Nasihat-nasihat beliau sangat banyak dan masih segar meskipun sudah beratus tahun sudah berlalu. Itulah karamah Syeikh Abdul Qadir.

Wednesday, September 16, 2009

Kain Kafan daripada Nabi

Kisah Tauladan ke-7

Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah lalu menyerahkan sehelai kain yang ditenun dan disulamnya sendiri kepada Nabi s.a.w. sebagai tanda cinta dan kasih terhadap Rasulullah. Dengan senang hati, baginda menerima dan memakainya.

Pada suatu hari, dengan memakai pakaian yang diberikan wanita tersebut, Nabi s.a.w. keluar menemui para sahabatnya. Salah seorang sahabat yang melihat keelokan kain itu lalu berkata : “Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya kain yang engkau pakai itu! Kan elok jika aku dapat memakainya.”

“Baiklah!” jawab Nabi ringkas. Setelah Nabi keluar dari majlis, baginda datang kembali ke tempat itu, tetapi tidak lagi memakai kain berkenaan. Rupa-rupanya kain pemberian wanita itu ada berlipat kemas di tangannya, lalu diserahkan kepada sahabat yang memujinya tadi.

“Terimalah kain ini dan pakailah,” ujar Rasulullah. Menyaksikan peristiwa itu, ramai sahabat yang tidak menyenangi lelaki itu. Kain pemberian wanita itu sangat disenangi oleh Nabi lantas itu dipakainya. Maklumlah, Nabi tidak pernah menolak permintaan seseorang.

“Mengapa kau memintanya?” rungut para sahabat kepada lelaki terbabit. “Saya meminta kain itu bukan untuk dipakai, tetapi untuk digunakan sebagai kain kafanku,” ujar lelaki itu. Maka para sahabat yang bertanya merasa bersalah lalu menundukkan kepalanya.

Sunday, September 13, 2009

Gelagat Abu Nawas

Kisah Tauladan ke-5

Abu Nawas merupakan tokoh yang paling lucu pada dinasti Abbasiyah. Tokoh jenaka ini sangat disenangi oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid kerana lawak jenakanya yang cerdik dan kelakar. Dalam kesibukannya sebagai raja yang adil dan bijaksana, baginda sering mengunjungi Abu Nawas untuk bersembang dan meyegarkan fikirannya yang berserabut.

Sebagai rakyat biasa, Abu Nawas sering mengkritik Khalifah melalui jenakanya yang lucu meskipun mengenai kepala raja, namun baginda tidak pernah marah.

Pada suatu hari, di pasar tempat orang ramai berdagang menjadi huru-hara gara-gara kata-kata Abu Nawas. “Teman-teman! Hari ini saya sangat membenci perkara yang haq tetapi menyenangi fitnah. Hari ini juga saya kaya bahkan lebih kaya daripada Allah,” ujar Abu Nawas.

Kata-kata Abu Nawas ini sungguh aneh kerana selama ini dia termasuk dikalangan mereka yang alim dan bertaqwa. Lalu polis kerajaan menangkapnya dan menghadapkannya kepada Khalifah. “Hai Abu Nawas, benarkah engkau berkata sedemikian?” tanya Khalifah. “Benar tuan,” jawabnya selamba. “Mengapakah engkau mengucapkan sedemikian, sudah kafirkah engkau?”

“Saya rasa Khalifah juga membenci perkara haq seperti saya,” ujarnya. “Gila benar engkau, aku sepatutnya menegakkan yang haq dan bukan membencinya,” ujar Khalifah yang mulai marah. “Jangan cepat marah, dengarkan dulu keterangan saya,” kata Abu Nawas yang cuba meredakan kemarahan Khalifah. “Keterangan apa yang kau maksudkan? Sebagai seorang muslim aku harus membela haq dan bukan membencinya, tahu?” ujar Khalifah geram.

“Apabila ada orang membacakan talqin, saya selalu mendengar ucapan bahawa mati itu haq dan neraka itu juga haq. Nah! Siapakah yang tidak membenci mati dan neraka yang haq itu? Tidakkah Khalifah juga membencinya seperti aku?” tanya Abu Nawas.

“Bijak juga engkau ni,” ujar Khalifah setelah mendengar penjelasan Abu Nawas. “Tapi apa pula maksudmu kau menyenangi fitnah?” tanya Khalifah. “Sekejap, barangkali Tuanku lupa bahawa dalam Al-Quran ada menyebut bahawa harta dan anak-anak itu fitnah. Sedangkan Khalifah menyenanginya seperti saya juga. Benarkan Khalifah?”

“Ya, memang begitu, tetapi mengapa engkau mengatakan bahawa engkau lebih kaya daripada Allah?” tanya Khalifah. “Saya lebih kaya daripada Allah kerana saya mempunyai anak sedangkan Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.” “Bukankah itu hakikat yang sudah tidak dapat dipertikaikan lagi?” tambah Abu Nawas lagi kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid.

“Aku membenarkannya, tapi mengapa engkau berkata sedemikian di khalayak ramai di tengah pasar?” tanya Khalifah ingin tahu. “Dengan cara begitu saya akan ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah seperti sekarang,” jawabnya selamba. “Mengapa kamu mahu menghadap saya?” “Agar dapat hadiah daripada Khalifah,” jawab Abu Nawas terus terang. Tindakan berani Abu Nawas itu menjadikan suasana itu menyeronokkan dan para hadirin terkasuma, begitu juga dengan Khalifah.

“Memang kau orang pintar,” puji Khalifah. Mereka yang mengadili Abu Nawas gelak tertawa mendengar kelucuan yang pintar itu. Khalifah pun menyerahkan wang kepada Abu Nawas sebagai hadiah dan menyuruhnya pergi meninggalkan istana. Alhamdulillah dapat rezeki,” gumamnya.

Friday, September 11, 2009

80 orang fasiq

Kisah Tauladan ke-5

Abu Yazid Al-Bustami adalah seorang yang terkenal sebagai hamba yang yang sangat rajin bermunajat kepada Allah. Dia sentiasa bermunajat kerana ingin masuk syurga. Hatinya selalu ceria. Fikirannya pula seolah-olah sudah melayang sampai ke Arasy Allah. Hati kecilnya berbisik, “inilah tempat Rasulullah, semoga aku kelak menjadi jirannya di syurga.”

Ketika dia tersedar dari khayalannya, dia terdengar suara menyeru, “ada seorang hamba yang kelak menjadi tetanggam
u di syurga. Dia tinggal di negeri ini,” seru suara tersebut. Lalu dia teringin untuk mencari hamba yang kelak menjadi tetangganya di syurga. Abu Yazid pun keluar rumah untuk mencari hamba yang dimaksudkan. Dia berjalan kaki sejauh 100 kilometer dan tiba di negeri yang disebutkan.

Sebelum bertemu hamba itu, seorang lelaki menasihatinya. “Mengapa engkau mencari orang fasiq dan pe
minum arak? Padahal dari tanda-tanda di dahimu, ternyata engkau adalah seorang yang soleh.” Mendengarkan nasihat itu, Abu Yazid terkaku seketika. “Jika demikian, suara yang menyuruhku sewaktu bermunajat itu agaknya suara iblis. Mengapa aku harus menurutinya?”

Kemudian
dia mahu melangkahkan kakinya untuk pulang. Tiba-tiba hatinya berbisik lagi. “Aku datang dari jauh. Aku datang untuk menemui hamba itu. Atau… agaknya aku belum terjumpa hamba yang dimaksudkan. Ya! Bagaimanapun aku tidak akan pulang sebelum bertemu dia.” Begitulah ujaran Abu Yazid yang bernekad untuk tidak pulang selagi tidak berjumpa dengan lelaki tersebut.

“Di manakah tempat sahabat itu?” Tanya Abu Yazid. “Dia sekarang sedang mabuk-mabuk di satu tempat.” ujar lelaki itu lalu diberitahunya tempat itu. Abu Yazid menuju hamba yang disebutkan itu. Benar! Dia dapati di situ, ada 40 orang lelaki yang sedang mabuk kerana minum arak sementara lelaki yang dicarinya itu sedang duduk di tengah-tengah mereka.

Melihat keadaan yang sedemikian, Abu Yazid merasa kesal. Dia mahu meninggalkan tempat itu dengan segera. Tetapi sebaik sahaja melangkah pergi, hamba itu memanggilnya. “Hai Abu Yazid! Mengapa eng
kau tidak masuk dahulu ke dalam rumahku? Bukankah engkau datang dari jauh untuk menemuiku. Khabarnya engkau hendak mencari hamba sebagai tetanggamu di syurga kelak.”

Mendengarkan kata-kata itu, Abu Yazid berasa hairan dan tertanya-tanya, masakan hamba tersebut tahu maksud kedatangannya sedangkan dia belum menyatakan isi hatinya dan memperkenalkan diri. “Engkau begitu cepat mahu meninggalkan tempat ini tanpa mengucapkan salam, tanpa perjumpaan dan memberi nasihat,” kata sahabat itu menambahkan lagi kehairanan Abu Yazid. Dalam keadaan begitu, Abu Yazid terpaku. Mulutnya bagaikan terkunci rapat. Tetapi di dalam h
atinya jelas memikirkan sesuatu.

“Sudah
lah Abu Yazid. Kau tak perlu banyak berfikir dan merasa hairan. Yang menyuruhmu datang telah memberitahuku. Ayuh! Masuklah ke dalam rumahku. Duduklah terlebih dahulu,” ajak hamba itu. Dengan sedikit keraguan Abu Yazid menurutinya masuk ke dalam rumah dan duduk bersama laki-laki yang sedang mabuk itu.

“Apa se
benarnya yang terjadi di rumah ini dan apakah perananmu di sini?” tanya Abu Yazid. “Hai Abu Yazid! Untuk masuk syurga, kita tidak boleh bersifat ego. Mahu masuk syurga sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia bagi seorang lelaki sepertimu, katanya sebagai nasihat.

“Dahulu ada 80 orang fasiq yang mabuk seperti yang engkau lihat. Tetapi, aku berusaha menarik mereka supaya bertaubat dan menjadi tetanggaku di syurga kelak. Akhirnya 40 orang berjaya meninggalkan tabiat tersebut, bakinya 40 orang lagi. Dan inilah tugasmu untuk mengajak mereka supaya bertaubat agar dapat menjadi tetanggamu kelak di syurga.” tambah hamba itu lagi.

Bagaikan disambar petir hati Abu Yazid mendengar ucapan tersebut. Hatinya luruh dan merasakan terpanggil untuk melakukannya. Dan dia bertekad untuk menyedarkan 40 orang fasiq itu sebagai jirannya di syurga kelak.

Sahabat itu lalu memperkenalkan Abu Yazid kepada 40 orang yang sedang mabuk itu. Akhirnya, dengan dakwah dan usaha yang gigih, 40 orang itu telah sedar, insaf dan bertaubat. Mereka itulah yang menjadi jiran Abu Yazid di syurga kelak.

Saturday, September 5, 2009

Tabib memeluk Islam

Kisah Tauladan ke-4

Pada suatu hari Junaid Al-Baghdadi menghidap sakit mata. Diapun memanggil tabib untuk merawat sakit matanya itu. Dia dinasihati oleh tabib supaya mengelakkan matanya daripada terkena air demi mempercepatkan menyembuh sakit matanya itu.

Bagaimanapun, ketika tabib itu berlalu pergi, Junaid bertekad untuk mangambil wudhu' termasuk membasuh muka, kemudian solat dan tidur. Apa yang anehnya, setelah mengenakan air sembahyang ke mukanya, tiba-tiba sakit matanya sembuh.

Pada saat itu Junaid terdengar satu suara, “mata Junaid sembuh kerana dia lebih redha kepadaKu. Sekiranya ahli neraka meminta kepadaKu dengan semangat Junaid nescaya aku kabulkan permintaannya.

Keesokan harinya, tabib itu datang untuk menziarahi Junaid, ternyata tabib itu kehairanan setelah melihat mata Junaid sembuh. “Apa yang kau lakukan wahai Junaid”. “Aku berwudhu' dan air itu mengenai muka dan mataku, lalu aku solat,” ujarnya.

Setelah menyaksikan peristiwa itu, tabib yang beragama Nasrani itupun menganut agama Islam. Itulah penawar daripada Tuhan yang menjadikan penyakit. Tabib tersebut mengatakan bahawa : “Sebenarnya, Junaid tidak sakit, tapi aku yang sakit, Junaidlah tabibku, kerana telah merawat sakit mata hatiku.
Pengajaran
1. Setiap penyakit ada penawarnya melainkan mati.

2. Allah yang menciptakan penyakit dan Allah jualah yang menciptakan penawarnya.

3. Apabila ditimpa sesuatu penyakit, kita hendaklah ikhtiar, doa dan tawakkal untuk sembuh.

4. Sebaik-baik tawakkal adalah yakin terhadap kekuasaan Allah tanpa keraguan walaupun sedikit.

5. Orang yang dikasihi Allah pasti akan diuji samada melalui harta, diri mahupun keluarga.

Monday, August 24, 2009

Doa ibu maqbul

Kisah Tauladan ke-3


Nama sebenar Juraij ialah Jurjis. Dia terkenal sebagai seorang soleh yang menghabiskan banyak masanya di tempat ibadatnya. Ketekunannya dalam mengabdikan diri kepada Allah menjadikan dia orang yang t
erkenal pada masa tersebut. Kealimannya disebut-sebut oleh orang ramai.

Kerana berhari-hari tidak pulang ke rumah, ibunya berasa sangat rindu kepadanya. Apabila tidak tahan merindui anaknya, Si ibu datang ke tempat Juraij beribadat lalu memanggilnya, Juraij! Juraij! dari jauh. Juraij mendengar teriakan ibunya, tetapi dia tidak menjawab, sebaliknya berkata dalam hatinya kepada Tuhan : “Ya Allah! Itu ibuku yang memanggilku, tetapi aku sedang menyembahMu.” Dia meneruskan ibadatnya.

Keesokannya, ibunya datang lagi memanggil-manggil Juraij seperti semalam. Namun Juraij tidak juga menyahutnya. Dia meneruskan ibadatnya. Ibunya pun pulang. Keesokannya lagi, ibunya data
ng lagi memanggil-manggil Juraij. Namun kali ini juga panggilannya tidak berjawab,

Si ibu pun pulang dengan perasaan hampa. Perasaan geram mula membuku di hatinya. Setibanya di rumah diapun berdoa : “Ya Allah! Janganlah Engkau cabut nyawa Juraij sebelum dia sempat melihat kecantikan wajah wanita jalang!” Apakah maksud di sebalik doa yang diungkapkan oleh ibu Juraij. Mungkin untuk menguji setakat mana kekuatan iman anaknya.

Maka wanita jalang yang dikatakan sangat cantik sebagai pengujinya. Semua lelaki dikatakan akan terpesona apabila menatap wajahnya. Tidak lama selepas itu, ibu Juraij pun berdoa, ramai daripada Bani Israel memperkatakan tentang kesolehan Juraij dan ketaatannya beribadat. Mereka semua bersetuju wanita jalang itu menggoda Juraij.

Pada suatu hari, datanglah wanita jalang itu menemui Juraij untuk memujuk rayunya. Juraij tidak mengendahkannya. Wanita tersebut amat kecewa dengan sikap Juraij dan bernekad dalam hatinya untuk membalas dendam terhadap Juraij. Setelah usahanya terhadap Juraij gagal, wanita itu pergi menggoda seorang lelaki pengembala kambing yang dia terserempak. Hasil daripada perhubungan haram dengan pengembala itu, wanita tersebutpun hamil.

Setelah
bersalin, wanita itu membawa bayinya di khalayak ramai. Dia menuduh Juraij telah melakukan perbuatan terkutuk terhadap dirinya sehingga melahirkan anak. Tanpa usul periksa lagi, orang ramaipun menyerbu Juraij. Mereka meruntuhkan tempat ibadat Juraij dan memukul Juraij. Juraij mempertahankan diri dan bertanya : “Kenapa kamu sekalian ini? Apakah kesalahanku yang membuatkan kamu semua memukulku?”

“Kamu telah m
elakukan zina dengan perempuan ini, anakmu ini buktinya,” jawab orang ramai.

Juraij merasa hairan, dia telah menghabiskan seluruh masa hidupnya untuk beribadat kepada Allah tetapi mengapa tiba-tiba datang fitnah yang besar menimpanya. Dia lantas teringat, mungkin kerana perbuatannya yang melebihkan ibadat sunat tetapi tidak melaksanakan yang wajib yakni menghormati ibunya. Ibunya telah beberapa kali memanggilnya sewaktu dia beribadat, tetapi panggilan ibunya tidak diendahkan.

Dan dia kini menghadapi tuduhan berbuat jahat hingga mendapat anak haram. Tanpa saksi tidak mungkin orang percaya walaupun berulang kali dia menafikannya. Dia berharap kepada Allah agar bayi itu bisa
menyatakan siapa ayahnya. Oleh itu, dia perlu memohon ampun dan restu daripada ibunya.

Kebetulan waktu itu ibunya datang, Juraij segera memohon ampun atas kesilapannya kerana tidak menghiraukan panggilan ibunya. Ibunya mengampunkan dan mendoakan agar Tuhan merahmati anaknya. Juraij berasa tenang dan pergi menghadapi orang ramai yang mengerumuninya.

“Bawa anak ini kemari dan dekatkannya kepadaku. Tunggu sebentar agar dapat aku solat sunat 2 rakaat,” ujar Juraij. Orang ramai akur dengan tindakannya.

Setelah selesai, dia memohon pertolongan Allah, Juraij menghampiri bayi tersebut lalu meletakkan jari telunjuk di tengah perut bayi itu sambil berkata : “Wahai bayi yang tidak berdosa, khabarkanlah siapakah sebenarnya bapamu?” Bayi itu tiba-tiba berkata : “Bapaku adalah seorang pengembala sambil menyebut namanya sekali.

Orang ramai yang hadir tercengang melihat bayi yang boleh bercakap. Kini baru mereka sedar yang mereka telah dibohongi oleh wanita itu. Lalu mereka mendatangi Juraij dan memohon maaf. Mereka juga berjanji untuk menggantikan tempat ibadat Juraij dengan bangunan yang diperbuat daripada emas.

Juraij menolak tawaran tersebut seraya berkata : “jikalau anda sekalian mahu menggantikannya, bangunkan sahaja semula, buatlah daripada tanah sebagaimana asalnya”. Sebaik sahaja tempat ibadatnya dibina semula, Juraij meneruskan ibadatnya di situ di samping tidak lagi mengabaikan ibunya sehinggalah dia kembali ke rahmatullah.


PENGAJARAN

1. Utamakanlah ibubapa kita dalam apa jua keadaan selagi tidak bertentangan dengan syariat.

2. Dahulukan perkara yang wajib daripada yang sunat kerana yang demikian pahalanya lebih besar.

3. Jangan biarkan perkataan berunsurkan doa yang tidak baik keluar daripada mulut ibu kita.

4. Sentiasalah meminta maaf kepada ibubapa kita agar diri kita sentiasa bersih daripada istilah “anak derhaka.”

5. Jagalah hati dan perasaan ibu kita, jangan biarkan ibu kita terguris walaupun sedikit kerana yang demikian membawa kita ke neraka.

Dialog Nabi dengan Iblis

Kisah Tauladan ke-2

Rasulullah pernah bertanya kepada iblis, “Wahai iblis terkutuk! Apakah ikhtiarmu ke atas ummatku? Sesungguhnya aku telah dibangkitkan untuk menyelamatkan semua ummat manusia agar beriman kepada Allah s.w.t.”

Jawab iblis, “Wahai Rasulullah! Demi kemuliaanmu aku akan bersungguh-sungguh menyesatkan umat manusia dari mengikut ajaranmu. Aku akan mencampurkan lelaki dengan perempuan agar mudah aku mencelah di tengahnya”.

Rasulullah bertanya lagi, “Wahai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?” Jawab iblis, “Wahai Muhammad! Sebenarnya aku sangat hairan dengan sikap ummatmu dalam 2 perkara iaitu :

*mereka meng
aku menyintai Allah s.w.t. tetapi pada masa yang sama mereka masih melakukan maksiat dan perbuatan mungkar.
*mereka sangat benci akan tabiatku tetapi mereka masih mahu mengikut segala hasutanku.

Firman Allah kepada iblis : “Sememangnya engkau adalah makhluk yang terkutuk lagi terlaknat, demi kemuliaanKu, akan kuberikan kepada ummat Nabi Muhammad 2 kegembiraan iaitu, kecintaan mereka terhadapKu akanKu jadikan penebus dosa di atas kesalahan yang telah mereka lakukan kerana helahmu. Kedua, kebencian mereka terhadapmu akanKu jadikan penebus dosa bagi maksiat yang telah mereka lakukan…”

Maka, tercenganglah iblis mendengar penjelasan sedemikian dari Allah s.w.t. Sedarlah iblis bahawa ummat Muhammad adalah ummat terbaik yang dikeluarkan dikalangan manusia dan paling disayangi oleh Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Adalah ummat Nabi Muhammad merupakan ummat manusia yang paling ramai menghuni syurga Allah s.w.t. Itulah kelebihan yang Allah s.w.t beri kepada ummat Nabi Muhammad dan tidak kepada ummat-ummat nabi yang lain. AllahuAkbar…

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam.

2. Iblis dan syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak cucu Adam a.s.

3. Seharusnya kita berbangga menjadi ummat Muhammad kerana dimuliakan oleh Allah s.w.t.4. Ketahuilah bahawa Allah itu Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

Saturday, August 15, 2009

Pelacur yang insaf

Kisah Tauladan ke-1

Al-Malikah adalah seorang Primadona dari Bani Israel. Dia merupakan seorang pelacur kelas tertinggi. Upah khidmatnya mahal yakni 100 dinar setiap kali perkhidmatannya. Dia memang cantik sehinggakan Abid tergila-gilakannya. Sayangnya, Abid seorang yang miskin dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan khidmat Al-Malikah.

Disebabkan nafsu Abid yang meluap-luap itu membuatkan hati Abid tergila-gila, dikerah tenaganya untuk mengumpul wang sebanyak yang diperlukan. “Primadona itu harus berada dalam dakapannya,” bisik hati kecilnya.

Dengan berbekalkan 100 dinar, Abid datang menemui Al-Malikah pujaannya. “Silakan masuk,” pelawa Al-Malikah dengan manisnya. Mendengar sapaan pujaannya itu, Abid melangkahkan kakinya masuk ke bilik Al-Malikah. Hari itu nafsu berahinya akan dipenuhi kerana wang sudah berada dalam tangannya.


Akan tetapi, apa yang terjadi tiada siapa yang dapat menduganya. Entah bagaimana tiba-tiba sahaja badan Abid menggeletar. Peluh dinginnya merencik keluar. Malah ketika pelacur itu memeluknya, Abid berusaha melepaskan diri sambil berteriak. “Lepaskan aku, ambillah wang 100 dinar ini,” sambil dia bangkit dari katil pelacur itu.

“Mengapa engkau tiba-tiba menjadi begini?” tanya Al-Malikah. “Aku takut kepada azab Allah! Bagaimana nanti aku akan mempertanggungjawabkan perbuatan maksiatku ini?” ujarnya.

Mendengarkan jawapan itu, terpegun Al-Malikah di katilnya. Nuraninya tersentuh oleh sikap lelaki yang berdiri dekatnya. Suatu peristiwa aneh yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir di pipi. Terbayang olehnya sejuta dosa yang menyelubunginya sebagai perempuan murahan lagi hina.

“Aku tertarik kepadamu. Jadikanlah aku isterimu” kata Al-Malikah tersedu-sedu. “Tidak! Aku akan meninggalkan tempat ini” jawab Abid. “Jangan pergi! kecuali engkau berjanji akan mengahwiniku.” “Baiklah,” ujar Abid singkat sambil meninggalkan bilik maksiat itu.

Sebaik sahaja Abid meninggalkan bilik, pelacur bernama Al-Malikah ini sudah bertekad akan meninggalkan maksiat itu untuk selama-lamanya. Dia sudah menyesal dan ingin bertaubat. Al-Malikah akhirnya melangkah keluar untuk mencari Abid, lelaki yang telah menyedarkan dirinya dari lumuran dosa dan maksiat. Tekadnya sudah membulat. Dia mesti berkahwin juga dengan Abid yang beriman itu.

Al-Malikah menuju ke negeri tempat tinggal Abid dengan penuh debaran. Sebaliknya setelah bertemu, Abid kelihatan ketakutan. Lantaran ketakutan yang mendadak dan keterlaluan telah menyebabkan Abid pengsan lalu meninggal dunia. Menangislah Al-Malikah menyaksikan lelaki pujaannya meninggal dunia sebelum sempat berkahwin dengannya.

“Gagal berkahwin dengan Abid, dapat saudaranya pun tidak mengapa!” Pinta Al-Malikah dengan dorongan ingin menebus dosanya selama ini.

Seorang teman Abid memberitahu bahawa saudara Abid adalah seorang lelaki yang miskin. Dia khuatir Al-Malikah akan menyesal nanti. “Biarlah dia miskin. Aku tetap ingin berkahwin dengannya sebagai memenuhi rasa cintaku terhadap saudaranya,” kata Al-Malikah.

Jadilah Al-Malikah bekas pelacur yang insaf. Dia berkahwin dengan lelaki miskin. Allah telah membuka hati wanita itu dengan taufiq dan hidayahNya. Maka, berbahagialah Al-Malikah seorang bekas Primadona bersama suaminya yang tercinta
.

Muqaddimah

الحمد لله رب العالمين، نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهد الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي الله، أشهد أن لا اله إلا الله وأشهد أنّ محمد رسول الله، اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

أما بعد،

Tujuan blog ini dihasilkan adalah untuk mengumpulkan cerita-cerita lama yang sudah tidak berlegar lagi dalam kehidupan kita. Kebanyakan cerita ini berguna untuk kita semua namun jarang yang kita dengar. Moga-moga kita mendapat manfaat yang besar daripada blog ini dan dinilai oleh Allah s.w.t.

Cerita-cerita yang terkandung di dalam blog ini, banyak berkisar tentang kelebihan yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambanya dalam membenarkan agama Islam dan perjuangan mereka. Banyak pengajaran di dalam blog ini yang dapat kita ambil dan mengaplikasikannya dalam kehidupan sejagat. Buat pengetahuan semua, disebalik penghasilan blog ini, ana menggunakan banyak rujukan. Dengan harapan blog ini benar-benar berguna buat kita semua.

Diharap cerita yang dihimpun ini, dapat menarik minat anda sekalian untuk membacanya dan disebarkan kepada teman-teman lain. Ini adalah kerana pengetahuan yang kita miliki, jika disebarkan kepada yang lain pasti ganjarannya berlipat ganda di sisi empunya langit dan bumi ini. Ini buku pertama yang ana karang sebagai permulaan penglibatan dalam bidang penulisan. Dan adik2 yang meminati kisah2 tailadan hendaklah menjadikan blog ini sebagai wadah harian atau mingguan agar masa kita terisi dengan perkara2 yang bermanfaat.

Paling kurang, blog ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan kepada kita beberapa tokoh yang mungkin jarang kita dengar. Maka suka di sini aku memperkenalkan nama mereka yang banyak itu. Paling kurang kita tahu nama mereka meskipun tidak secara mendalam. Mungkin dengan mengenali nama mereka, kita menjadi seseorang yang ingin tahu tentang latar dan sejarah hidup mereka. Siapa tahu, kita juga bakal menjadi golongan yang bergelar ulama-ulama yang muktabar. Semua itu tidak mustahil.

Pertama, tokoh yang digelar sebagai sahabat Rasulullah : Abu Bakar As-Siddiq, Uthman Bin Affan, Umar Bin Al-Khattab, Ali Bin Abi Thalib, Talhah, Abu Ubaidah Bin Jarrah, Bilal Bin Rabbah, Saad Bin Abi Waqas, Said Bin Zaid, Zubair Bin Al-Awwam, Ammar Bin Yassir, Abdul Rahman Bin Auf, Abu Sufian, Anas Bin Malik, Abu Huzaifah Al-Ghifari, Abu Hurairah, Khubaib Bin Ali, Zaid Bin Ad-Danas, Abdullah Bin Thariq, Ibnu Abbas, Muaz Bin Jabal, Khalid Al-Walid dan banyak lagi.

Kedua, tokoh yang dikenali sebagai para sufi atau wali Allah : Sufyan Ath-Thauri, Rabiatul Adawiyah, Hassan Al-Basri, Ibrahim Bin Adham, Harith Al-Muhasibi, Junaid Al-Baghdadi, Zunnun Al-Mishri, Abu Sulaiman Ad-Darami, Abu Bakar As-Syibli, Abu Yazid Al-Bustami, Jalaluddin Ar-Rumi, Al-Qusyairi, Abul Ala Al-Hadrami, Al-Hallaj, Ibnu 'Arabi, Fudhail Bin Iyadh, Ibrahim Al-Khauwash, As-Syibli, Sumnun, Malik Bin Dinar, Sari As-Saqathi, Syah Bin Syuja', Ibnu Atha', Syaqiq Al-Balkh serta banyak lagi.

Ketiga, tokoh yang digelar sebagai Imam-Imam yang muktabar : Imam As-Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Imam Malik, Imam Al-Ghazali, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani, Imam At-Tirmizi, Imam An-Nawawi, Imam As-Suyuti, Imam At-Tibrabi, Imam Zaidiyyah, Imam Bukhari, Imam Muslim dan banyak lagi.

Keempat. Tokoh melayu yang digelar sebagai wali Melayu : Tun Tulis, Muhammad Said Al-Linggi, Tok Ku Paloh, Muhammad Nor Al-Khodili, Tuk Kenali, Tuan Hussein Kedah Al-Banjari, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut.


Yang benar,

……………..

(Mohd Ubaidillah Bin Deraman)
Al-Qisah © 2008 Template by:
SkinCorner