Tuesday, January 18, 2011

Salahauhuddin Al-Ayyubi

Kisah Tauladan ke-14


Seluruh dunia kenal dan tahu akan kehebatan, keberanian dan keperkasaan pahlawan besar Islam Salauhuddin Al-Ayyubi dalam peperangan Salib. Di bawah panglima besar ini, beberapa bumi Islam dapat dibebaskan dari penjajahan tentera salib kristian.


Beliau telah mencurahkan segala qudratnya dalam perang ini untuk mengembalikan maruah umat Islam yang dipermainkan oleh kaum musyrikin. Bumi Palestin yang telah dijajah oleh Kristian selama 90 tahun akhirnya telah dibebaskan.


Kekayaan Negara-negara Islam yang dapat dibebaskan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan mempertahankan negara daripada serangan musuh. Di Mesir, Salauhuddin membina sebuah benteng tebal yang yang kukuh dan panjangnya lebih dari 1 kilometer.


Di Damaskus pula didirikan rumah atau tempat bagi orang-orang miskin. Begitu juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbir oleh panglima besar ini di mana terdapat banyak bangunan-bangunan yang untuk kebajikan rakyat.


Setelah bertahun-tahun memimpin negara Islam dan berperang melawan tentera Salib bersama ayah mertuanya yang bernama Nuruddin Az-Zanki, tibalah masanya Salauhuddin kembali ke rahmatullah. Di saat kewafatannya berlakulah peristiwa yang amat menyedihkan.


Orang-orang besar dan kerabat diraja menyaksikan kewafatan beliau sambil mengalirkan air mata di atas pemergiannya. Orang ramai juga lebih terharu lagi apabila membuka tempat penyimpanan hartanya kosong dan begitu juga dengan harta kerajaannya kosong.


Semuanya telah digunakan untuk perang dan kebajikan rakyat. Hinggakan untuk membeli kain kafan pun tidak ada. Maka pembesar-pembesar dan raja-raja berpakat untuk mengutip derma bagi membeli kain kafan untuk pengurusan jenazah panglima.


Ini membuktikan bahawa panglima tidak memikirkan sama sekali tentang dirinya. Semuanya dicurahkan demi kepentingan Islam yang tercinta semata-mata. Allahu Akbar, semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.


Pengajaran

1.Kesanggupan melakukan apa sahaja demi Islam akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang tidak terhitung nilainya.

2.Keprihatinan seorang pemimpin terhadap rakyat dan orang bawahannya menjadikan diri mereka disayangi dan dihargai meskipun setelah mereka mati.

3.Kesanggupan melakukan apa sahaja demi Islam akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang tidak terhitung nilainya.

4.Kematian mereka hanya pada zahirnya sahaja, namun tetap hidup sehingga sekarang dan masih segar di dalam jiwa ummat Islam.


Mohd Ubaidillah Al-Musawi

Adaptasi Karya Al-Faqir I

Koleksi Al-Qisah 40


Sunday, January 16, 2011

PERISAI API NERAKA

Kisah Tauladan ke-13


Seorang lelaki ketika sedang melakukan ibadat wuquf di Padang Arafah, di tangannya tergengam 7 ketul batu sebagai kesaksian terhadap Allah dan RasulNya. Sebelum tidur, lelaki itu mengucap 2 kalimah syahadah. Suatu malam ketika sedang tidur, dia bermimpi seakan-akan kiamat telah tiba. Di sana dia dihisab dan dijatuhi hukuman masuk ke neraka. Lalu diringkan malaikat Zabaniah menuju ke neraka.


Apabila sampai di neraka, malaikat di bahagian azab cuba mencampakkannya tetapi gagal. Ini kerana di tangannya ada seketul batu yang pernah dibawa semasa melakukan wuquf.


Kemudian malaikat mengiringnya ke pintu kedua. Di sini pun malaikat gagal mencampakkannya lelaki itu ke dalam neraka. Batu yang bergengam di tangannya menjadi penghalang. Begitulah seterusnya sehingga genap 7 pintu neraka.


Akhirnya malaikat membawanya ke Arasy. Malaikat melaporkan kepada Allah. “Ya Allah! Kami tidak mampu mencampakkan hambaMu ini ke dalam neraka. Sesungguhnya engkau lebih mengetahui tentang hambaMu ini.”


Allah berfirman kepada lelaki itu, “Wahai hambaku! Adalah batu-batu yang kau gunakan untuk bersaksi dengan kalimah syahadah sewaktu engkau menjalankan ibadah wuquf itulah yang menolongmu. Ia tidak mensia-siakan haqmu? Aku juga tidak akan mensia-siakan haqmu. Masukkan hamba ini ke syurga.


Ketika membawa lelaki tersebut ke syurga pintunya sedang tertutup. Lalu datanglah penyaksian kalimah syahadah, lantas pintu syurga itu terbuka dan masuklah dia ke dalam syurga. Dia kekal di dalamnya.


Pengajaran

1.Janji Allah adalah benar.

2.Allah tidak akan berlaku zalim sama sekali terhadap hambaNya.

3.Setiap amalan yang kita kerjakan sewaktu di dunia akan dibalas walau sekecil zarah sekalipun.

4.Syurga hanyalah untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, adapun neraka untuk mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah s.w.t.


Mohd Ubaidillah Al-Musawi

Adaptasi Karya Al-Faqir I

Koleksi Al-Qisah 40


Saturday, January 8, 2011

Tangan Menjadi Kering

Kisah Tauladan ke-12


Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah. Tangan kananya kering sehingga dia meminta kepada Rasulullah supaya berdoa agar tangannya sembuh seperti sedia kala.


“Mengapa tanganmu menjadi kering begini?” tanya Rasulullah. Maka perempuan itupun menceritakan tentang mimpinya. Di dalam mimpinya, perempuan itu melihat hari kiamat telah tiba, neraka sudah dinyalakan dan syurga telahpun tersedia.


Dikatakan dalam mimpinya, perempuan itu melihat ibunya berada di dalam neraka jahannam sambil memegang sehelai kain dan sepotong lemak. Dengan kain dan lemak itu Si ibu berlindung diri daripada bakaran api neraka.


Dalam mimpinya, dia berbicara : “Wahai ibuku! mengapa engkau berada di lembah ini sedangkan kau adalah seorang yang taat kepada Allah, bapa juga menyukaimu dan tidak pula membencimu.” Kemudian ibunya memberitahu anaknya bahawa semasa hayat di dunia dahulu, dia adalah seorang yang kedekut. “Dan lembah neraka ini memang disediakan untuk orang yang kedekut sepertiku,” kata ibunya.


“Lemak dan kain yang ada di tanganmu itu apa?” dia bertanya kepada ibunya. “Cuma sedekahlah yang dapat melindungiku dari bahan api neraka. Tetapi kain dan lemak inilah yang dapat menyelamatkanku kerana banyak ini sahaja yang aku sedekahkan semasa hayatku di dunia.” Jawab ibunya.


Anaknya lalu bertanya di mana tempat tinggal ayahnya. Ibunya lalu menjawab, “bapamu sekarang bersenang-lenang di syurga, ini adalah kerana dia seorang yang dermawan,” jawab ibunya lagi.


Dari neraka, anaknya pun menuju ke syurga. Dia melihat ayahnya berada di pinggir telaga Rasulullah s.a.w. “Dia melihat ayahnya sedang memberi minum kepada orang-orang dermawan dengan gelas yang diambil dari tangan Sayyidina Ali.


Kemudian perempuan itu mengadu kepada ayahnya tentang keadaan ibunya yang tinggal di neraka. “Ibu sangat dahaga wahai ayahku, mengapa engkau memberi minum kepada orang lain tetapi tidak kepada ibu?” tanya anaknya. “Anakku, ibumu sekarang tinggal di tempat yang disediakan bagi orang yang kedekut seperti ibumu dan Allah mengharamkan air telaga ini untuk mereka,” jawab ayahnya.


Dalam mimpi itu, kerana terlalu kasihankan ibunya, wanita itu tetap mengambilnya dengan sendiri, lalu terdengar suara : “Semoga Allah mengeringkan tanganmu kerana memberi air telaga Rasulullah (Al-Kauthar) kepada penghuni neraka.”


Apabila perempuan itu bangun daripada tidur, tiba-tiba dia dapati tangannya benar-benar kering. Disebabkan itulah dia datang menemui Rasulullah agar disembuhkan tangannya.


Diriwayatkan, Rasulullah lalu meletakkan tongkatnya di atas tangan wanita yang kering itu seraya berdoa : “Demi Allah, demi cerita yang telah diperkatakan wanita ini, kupohon agar engkau sembuhkan tangannya seperti sediakala.” Dengan izin Allah tangan perempuan itupun sembuh seperti sediakala.


Maka, fahamlah wanita tersebut bahawa banyak mana amalan kita, sekiranya kita bakhil atau kedekut, kita tetap akan masuk neraka. Dan jelaslah bahawa perbuatan kedekut itu sangat-sangat dibenci oleh Allah.


Pengajaran

1. Di akhirat kelak tiada siapa yang dapat membantu kita.

2. Di dunia yang sementara adalah tempat mengumpul bekalan menuju ke akhirat.

3. Di dunia mungkin kita bersama, namun di akhirat adakah kita masih bersama atau sebaliknya.

4. Kadangkala mimpi yang dialami itu adalah benar dan ia merupakan petunjuk daripada Allah.


Mohd Ubaidillah Al-Musawi

Adaptasi Karya Al-Faqir I

Koleksi Al-Qisah 40


Monday, January 3, 2011

KHALIFAH YANG ADIL

Kisah Tauladan ke-11


Ini adalah kisah keadilan Khalifah Umar Bin Al-Khattab terhadap anaknya Ubaidillah atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Sahmah.


Pada suatu hari, datang seorang wanita dari Bani Najjar. Wanita itu mengadu telah dizina oleh Abu Sahmah hingga hamil dan melahirkan seorang bayi. Tentu sahaja itu memalukan khalifah.


“Hai Jaariah! Benarkah dakwaanmu itu,” tanya khalifah. “Benar khalifah! Jika tidak percaya, hamba berani bersumpah dengan Al-quran.”


Dengan penyumpahan itu, yakinlah Umar bahawa wanita itu tidak berdusta. Malah ketika ditanyakan langsung kepada Abu Sahmah, anaknya itu tidak menafikannya. “Benar ayahku! Hukuman apakah yang ayah akan jatuhkan padaku? Aku pasrah dan redha daripada menerima azab di akhirat kelak.”


Bagaimanapun, anaknya Abu Sahmah harus dihukum rejam sesuai dengan hukum hudud,” tekad khalifah. Mendengar keputusan Umar, ramai sahabat berusaha mencegah dan menasihatinya agar hukuman tersebut dibatalkan atau diganti dengan hukuman lain. Namun keadilan tidak berbelah bahagi. Hukuman rejam tetap dilaksanakan. Maka, tamatlah riwayat hidup Abu Sahmah.


Maka, terbuktilah keadilan Umar. Beliau tidak mengenal sesiapa dalam melaksanakan perintah Allah meskipun anaknya sendiri. Anak kandungnya mati kerana melakukan kemurkaan kepada Allah dan dia terlepas dari azab neraka kerana telah menerima azab di dunia.


Pengajaran

1.Tiada pilih kasih dalam Islam.

2.Islam adalah agama yang adil kepada semua dan tidak mengira sesiapa samada raja, PM, anak, isteri mahupun hamba.

3.Islam tidak berlaku zalim terhadap penganutnya sehingga terbukti kesalahan yang dilakukannya.

4.Akhlak para sahabat adalah sangat mulia kerana mendapat pentarbiyahan yang sempurna daripada Rasulullah.

5.Hukum hudud adalah wajib dilaksanakan bagi menjaga kemaslahatan ummat seluruh dunia.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi
Adaptasi Karya Al-Faqir I
Koleksi Al-Qisah 40

AL-HASIN MASUK ISLAM

Kisah Tauladan ke-10

Tersebut di dalam riwayat. Suatu hari, orang-orang Kafir Quraisy pergi kepada seorang tua bernama Al-Hasin. Al-Hasin terkenal dengan sifat jujur, berbudi bahasa dan suka menolong. Orang-orang Kafir Quraisy meminta jasa baik Al-Hasin agar meminta Nabi s.a.w. memberhentikan penyebaran agama Islam.


Maka pergilah orang tua yang jujur itu berjumpa baginda s.a.w. dan menyampaikan maksudnya dan berlakulah dialog antara Nabi s.a.w. dengan Al-Hasin:


“Wahai Al-Hasin! berapa tuhan yang kamu sembah?”


“Tujuh di langit dan satu di bumi.” jawab Al-Hasin.


“Kalau engkau ditimpa penyakit atau kesusahan, kepada siapa engkau meminta?”


“Kepada yang di langit,” jawab Al-Hasin.


“Kalau kehabisan harta, kepada siapa pula engkau meminta?”


“Kepada yang di langit juga.”


“Waktu meminta yang susah-susah engkau hadapkan ke langit tapi waktu menyembah engkau sekutukan dia dengan yang di bumi, masuk islamlah kamu wahai Hasin, supaya engkau selamat.”


Mendengar hujjah itu, Hasin terus masuk Islam ketika itu juga. Anaknya Imran yang kebetulan hadir di situ dan telah lama masuk Islam menangis apabila melihat ayahnya mengucap 2 kalimah syahadah. Dia mencium kepala, kedua tangan dan kaki ayahnya.


Nabi s.a.w. sendiri menangis melihat kelakuan Imran terhadap ayahnya itu. Ini kerana, sebelum Al-Hasin memeluk Islam, jangankan Imran akan buat begitu, melihatpun dia tidak mahu, tetapi setelah ayahnya menganut ajaran Islam, Imran memenuhi tanggungjawab terhadap ayahnya. Inilah yang membuat Nabi s.a.w. menangis.


Pengajaran

1.Islam adalah agama yang mengutamakan persaudaraan.

2.Sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam.

3.Islam adalah agama yang tinggi dan tiada satupun yang dapat menandinginya.

4.Allah yang Berkuasa sentiasa menggagalkan rancangan musuh Allah untuk memadamkan cahaya Islam.


Mohd Ubaidillah Al-Musawi
Adaptasi Karya Al-Faqir I
Koleksi Al-Qisah 40


Saturday, January 1, 2011

Ibnu Hajar Al-Asqolani

Pensyarah Kitab Syarah Bukhari

Maqam Ibnu Hajar Al-Asqolani

Kali ini Al-Faqir akan menceritakan tentang seorang tokoh yang sangat hebat dan tidak asing lagi di dunia keilmuan, tidak lain dan tidak bukan, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani. Nama sebenar beliau adalah Syihabuddin Abul Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Hajar Al-Kinani Al-Asqolani Asy-Syafie Al-Mishri. Beliau dilahirkan di Mesir pada bulan syaaban tahun 773H. Dan beliau wafat di Mesir, dan dikebumikan di situ.

Inilah karya hebat beliau

Sebagaimana yang diketahui, adalah Ibnu Hajar ini pengarang kepada kitab hebat daripada kitab hebat. Apa maksudnya? Kitab hebat itu adalah Fathul Bari, syarahan kepada kita Sahih Bukhari oleh Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. Kedua kitab ini tidak dapat ditandingi oleh mana2 ulama' samada matannya mahupun syarahnya. Sebab itulah ulama menyebut bahawa, kitab Ibnu Hajar adalah penutup/pelengkap kepada perbahasan kitab Sahih Bukhari.

Pernah suatu ketika, seorang ulama hebat diminta untuk menulis kitab syarah kepada kitab sahih bukhari, lalu beliau menjawab dengan hadith Nabi s.a.w.: لا هجرة بعد الفتح. Maksudnya: Tidak ada lagi syarah setelah lengkapnya kitab ini (Fathul Bari). Apa yang hebatnya Ibnu Hajar adalah, setiap hari beliau akan membaca sahih bukhari sebanyak 5 kali dan sahih muslim sebanyak 10 kali. Subhanallah.

Terakhir, dikatakan bahawa beliau mempunyai guru lebih daripada 500 orang guru. Antara guru beliau adalah Imam Bulqini dan Imam Al-Khawarzmi. Dan di antara muridnya yang hebat adalah Imam As-Sakhowi dan Imam Zakaria Al-Ansori.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi
Blog Abang Bercerita
Bicara dari bumi Al-Kinanah

Thursday, December 31, 2009

Mimpi Abi Qalabah

Kisah Tauladan ke-9


Pada suatu hari, Abi Qalabah terlihat dalam mimpinya seolah-olah ada kubur pecah dan keluar mayat-mayat dari kubur itu. Mereka semua duduk di tepi kubur dan setiap orang pada wajahnya terdapat nur (cahaya).

Dikalangan mereka, Aku melihat seorang lelaki dari tetanggaku, tiada nur pada wajahnya, maka aku berkata kepadanya : “Aku tidak melihat nur di wajahmu?” jawab mayat itu, “sesungguhnya anak-anak mereka dan teman-teman mereka memberi petunjuk dan sedekah. Aku mempunyai anak yang tidak soleh, ia tidak mendoakan aku dan tidak bersedekah untukku. Oleh sebab itu, tiada cahaya di wajahku dan aku rasa malu kepada teman-temanku.

Apabila Abi Qalabah tersedar dari mimpinya, lalu dia mencari anak kepada lelaki tersebut dan menceritakan hal yang dilihatnya dalam mimpi. Berkata anak tetangganya itu : “Aku bertaubat di hadapanmu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi buat selama-lamanya.” Maka sejak itu anaknya sentiasa berbuat kebaikan, berdoa dan bersedekah untuk ayahnya.

Suatu ketika Abi Qalabah melihat kejadian yang lain dalam mimpinya. Dia melihat wajah orang lelaki itu terang cahayanya berbanding temannya. Dia berkata ; “Wahai Abi Qalabah, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Engkau telah menyelamatkanku daripada malu terhadap teman-temanku.

Maka, legalah Abi Qalabah mendengarkan itu. Begitulah pentingnya doa anak yang soleh buat ibu bapa yang telah meninggal dunia. Abi Qalabah juga mendoakan untuk ayahnya agar bersemadi dengan aman.

Pengajaran:

1. Mati itu pasti dirasai bagi setiap yang hidup, cuma tidak diketahui bila sahaja.
2. Semua perkara akan putus melainkan tiga perkara :
- sedeqah yang berkekalan
- ilmu yang bermanfaat
- doa anak yang soleh
3. Adalah mimpi orang yang beriman 1/5 daripada kenabian dan adalah benar.
4. Sebagai seorang anak, kita hendaklah menunaikan kewajipan kepada ibubapa meskipun setelah mereka tiada.
Al-Qisah © 2008 Template by:
SkinCorner